Followers

SToRY BeSt IbU..

Wednesday, June 9, 2010

M. RAJOLI SEMAKIN TENAT


Rasanya semua pihak telah sedia maklum bahawa pelakon yang sering membawakan watak ustaz, M. Rajoli sudah sekian lama mengalami masalah kesihatan.

Berpeluang mengikuti program yang diatur oleh Seniman semalam, pihak media berkesempatan melihat keadaan sebenar pelakon tersebut yang kini hanya terlantar lemah di kediamannya yang terletak di Hulu Kelang, Kuala Lumpur.

Menurut beberapa exco Seniman yang berpeluang menziarah pelakon tersebut sebelum ini, keadaan M. Rajoli semakin tenat jika dibandingkan dengan beberapa bulan yang lalu.

Ini kerana selain daripada susuk tubuhnya yang semakin kurus, dia juga lebih banyak menghabiskan masanya dengan tidur. Malah dia hanya bangun pada waktu makan atau minum sahaja. Itupun setelah dikejutkan oleh isterinya, Hashimah Mat Din.

Isterinya ketika ditemubual mengakui perkara tersebut namun tidak dapat mengesahkan mengenai taraf kesihatan M. Rajoli yang sebenar. Katanya, kadang-kadang suaminya itu kelihatan baik dan kadang-kadang pula kelihatan terlalu lemah.

"Sebelum ini dia (M. Rajoli) tidaklah terlalu kerap tidur. Cuma beberapa bulan sejak kebelakangan ini dia lebih banyak menghabiskan masanya dengan tidur. Saya pun tidak tahu kenapa.

"Menurut doktor, penyakit ketumbuhan di dalam otaknya telah sembuh dan kini hanya mengambil ubat untuk masalah jantung yang dialami. Cuma kini apabila dia tidur, saya hanya mengejutkannya untuk waktu makan dan minum sahaja.

"Dahulu kalau lapar dia akan beritahu saya tetapi sekarang lapar atau dahaga, dia hanya akan diam. Jadi saya akan memberikannya makan atau minum mengikut jadual yang disarankan oleh doktor. Dengan keadaan dia yang sebegitu, saya hanya memberi dia makan makanan yang lembut dan mudah dihadam.

"Setakat ini saya tiada masalah untuk menjaganya kerana percaya Allah akan terus memberikan rezeki kepada saya. Dia juga masih mengenali saya dan anak-anaknya. Tetapi kalau rakan-rakan pelakon yang datang pada hari ini, mungkin dia tidak ingat," katanya.

Tanggung sendiri kos perubatan
Ditanya tentang kos perubatan suaminya itu, wanita tabah itu memberitahu dia bersyukur kerana salah seorang anaknya bekerja dalam sektor awam, sekaligus mengurangkan bebannya untuk membayar segala kos perubatan.
   
"Sebelum ini saya pernah sekali menerima bantuan daripada Finas. Selain itu yang sering datang menziarah dan menghulurkan bantuan adalah Seniman.

"Kalau tak ada bantuan daripada Seniman, saya meneruskan hidup dengan bantuan anak-anak. Kalau nak cerita tentang wang simpanan, memang semuanya dah habis. Mujurlah anak bongsu saya iaitu Mohd Arif tinggal bersama dan dialah yang banyak membantu menguruskan ayahnya.

"Memang sekarang saya hanya pergi mengambil ubat di hospital, tetapi sesekali doktor mahu melihat tahap kesihatan suami dan saya terpaksa membawanya ke hospital.

"Memang agak sukar tetapi inilah tanggungjawab yang perlu saya lakukan," katanya yang kelihatan ceria dengan kahadiran exco Seniman serta pihak media.

Walau bagaimanapun dalam pertemuan tersebut, Hashimah enggan memberikan sebarang komen apabila ditanya tentang madunya, pelakon dan juga penyampai radio, Wan Chik Daud.

"Kalau boleh saya tak nak cakap tentang perkara tersebut. Mungkin satu hari nanti dia akan datang juga ke sini," katanya ringkas.

No comments:


Free Chip Walking ani MySpace Cursors at www.totallyfreecursors.com
Related Posts with Thumbnails