Followers

SToRY BeSt IbU..

Wednesday, March 17, 2010

Mendisiplin Kanak Kanak


Keibubapaan adalah sesuatu yang mahal dan kompleks, dan setiap orang daripada kita tidak perlu mengikuti kursus empat tahun untuk mendapatkan ijazah dalam bidang ini. Sebaliknya, ia adalah komitmen sepanjang hayat dari saat anak anda dikandungkan. Setiap seorang daripada kita memasuki alam keibubapaan tanpa mempunyai pengalaman.

Kekecewaan yang dialami tatkala kita berhadapan dengan masalah keibubapaan berlaku kerana kita tidak mempunyai model yang direkacipta khas atau satu pelan terperinci untuk diikuti sebagai respon kepada situasi yang tidak dapat dielakkan. Saya teringat pengalaman saya setiap kali menaiki kapalterbang pada waktu malam. Apabila saya melihat ke hadapan, saya dapat melihat lampu-lampu hijau menyempadani landasan terbang, yang mana ia memberitahu kapten kapalterbang arah kapalterbang itu harus menghala. Jika dia terus beraada di lingkungan sempadan berlampu itu, dia akan selamat. Zon yang bercahaya itu menggambarkan keselamatan, tetapi bahaya berada di sebelah kiri atau kanannya.

Bukankah itu yang kita perlukan sebagai ibu bapa? Sepatutnya ada tanda sempadan yang jelas yang boleh memberitahu kita arah untuk kita menghalakan kapal keluarga kita. Kita memerlukan prinsip-prinsip panduan yang akan membantu kita membesarkan anak-anak dengan selamat dan sihat.

Subjek disiplin biasanya dikaitkan dengan “Kanak-kanak Bersemangat Tinggi”. Kanak-kanak seperti ini seolah-olah dilahirkan dengan idea yang jelas tentang bagaimana dia mahukan dunia ini harus beroperasi dan tidak boleh bertoleransi dengan sesiapa yang membangkangnya. Dia mengumumkan peperangan dengan kesemua bentuk autoriti sama ada di rumah atau di luar. Kanak-kanak Bersemangat Tinggi ini biasanya mempunyai kreativiti yang berpotensi dan peribadi yang kuat berbanding dengan adik-beradik yang lain, dengan syarat ibu bapanya dapat membantu dia menentukan hala tujunya dan mengawal nalurinya yang membuak.

Soalan: Jika anda terpaksa memilih antara corak pendisiplinan berbentuk autoritarian dan satu lagi yang berbentuk permisif dan tidak tegas, mana satukah yang akan anda pilih? Yang mana satukah lebih baik untuk anak-anak?

Jawapan: Kedua-dua corak pendisplinan yang ekstrim ini akan meninggalkan kesan buruk pada peribadi anak-anak, dan saya tidak dapat mengatakan yang mana satu akan mendatangkan kesan lebih buruk. Pada satu hujung adalah bentuk opresif, di mana seorang kanak-kanak itu menerima penghinaan akibat dominasi yang total. Atmosfera di mana dia dibesarkan adalah kaku dan tegar, dan dia hidup dalam ketakutan. Dia tidak berupaya untuk membuat keputusannya sendiri, dan personalitinya tersorok di bawah penguasaan dan kawalan ibu bapa yang autoritatif. Akibat dari dominasi ini, kanak-kanak itu membesar sebagai seorang yang sentiasa mengharapkan orang lain, mempunyai perasaan marah yang dalam dan terpendam, dan menjadi remaja yang suka melawan.

Tetapi hujung ekstrim yang bertentangan juga merosakkan kanak-kanak. Dalam ketiadaan penyeliaan seorang dewasa, kanak-kanak itu akan naik kepala, dan ini berlaku sejak dia bayi lagi. Dia akan berfikir bahawa dunia ini bergerak mengikut kemahuannya, dan dia sering mengutarakan kata kesat dan tidak menghormati orang di sekeliling mereka. Anarki dan kacau-bilau bertakhta di rumahnya. Ibunya biasanya adalah wanita yang paling letih dan paling berputus asa di kawasan tempat tinggal mereka. Kesusahan dan keaibannya mungkin berbaloi jika sikap pasifnya menghasilkan anak-anak yang baik. Malangnya tidak.

Cara yang paling sihat untuk membesarkan anak boleh ditemui di kawasan selamat di tengah-tengah antara kedua-dua corak pendisiplinan yang ekstrim tadi. Kanak-kanak terdorong untuk melakukan yang terbaik dalam persekitaran di mana dua perkara ini – kasih sayang dan kawalan – didapati dalam nisbah yang seimbang. Apabila dacing ini menurun pada satu bahagian, masalah biasanya mula berlaku di rumah.

Soalan: Anda meletakkan penekanan tinggi tentang menanamkan rasa hormat semasa mereka membesar. Mengapakah aspek ini sangat penting? Adakah anda hanya mahukan orang dewasa rasa berkuasa dan dapat mengawal kanak-kanak?

Jawapan: Tentu sekali tidak. Perasaan hormat adalah penting kerana beberapa sebab tertentu. Pertama, hubungan kanak-kanak dengan ibu bapanya menyediakan asas kepada sikapnya terhadap lain-lain bentuk autoriti yang akan dia temui. Ia menjadi asas kepada pandangannya terhadap guru-guru sekolah, pegawai penguatkuasa undang-undang, majikan dan mereka yang bekerja dengannya di kemudian hari. Guru-guru, contohnya, boleh mengenalpasti dengan cepat sama ada seorang pelajar itu telah biasa memberontak di rumah – kerana sikap itu dibawa terus ke bilik darjah. Sekali lagi, perhubungan di rumah adalah pertembungan social yang pertama dan yang paling penting bagi seorang kanak-kanak, dan masalah yang dialami mereka di sana biasanya akan dibawa hingga mereka dewasa.

Kedua, jika anda mahu anak anda menerima nilai-nilai yang cuba anda tanamkan apabila dia mencecah umur belasan tahun, maka anda mestilah menjadi seorang yang cukup mereka hormati semasa mereka kecil. Apabila seorang kanak-kanak itu berjaya membantah autoriti anda semasa lima belas tahun pertamanya, mengetawakan anda dan terang-terangan melanggar kepimpinan anda, dia akan terus membantah apa sahaja yang anda perkatakan. Emak dan ayah sangat bodoh! fikirnya. Saya dapat memintal mereka di hujung jari saya. Memang betul mereka sayangkan saya, tetapi saya rasa mereka sebenarnya takutkan saya. Seorang kanak-kanak mungkin tidak akan mengutarakan perkataan ini, tetapi dia merasakannya setiap kali dia memenangi perbalahan dengan ibu atau ayahnya.

Ketiga, dan berkaitan dengan yang kedua, perasaan hormat adaalh penting dalam masa peralihan kepercayaan daripada satu generasi ke generasi yang lain. Kanak-kanak yang memandang hina ibu dan bapanya tentu tidak akan mencontohi mereka dalam perkara-perkara yang penting. Mengapa? Kerana kanak-kanak kecil biasanya mengidenitikan ibu bapa mereka – terutamanya bapa mereka – dengan Tuhan. Oleh itu, jika Ibu atau Bapa tidak berbaloi untuk dihormati, maka begitu juga dengan moral mereka, negara mereka, atau sesuatu yang begitu mereka yakini.

Soalan: Dari segi filosofi, saya percaya bahawa saya perlu mengawal anak-anak saya, tetapi saya perlukan lebih perincian. Berikan saya langkah-langkah pendisiplinan yang boleh membantu saya melakukan tugas saya dengan betul.

Jawapan: Baiklah, izinkan saya mengemukakan enam panduan yang saya rasa dapat anda amalkan. Prinsip-prinsip ini mewakili intisari filosofi saya terhadap disiplin.
Pertama: Takrifkan sempadan-sempadannya sebelum ia dikuatkuasakan. Langkah yang paling penting dalam mana-mana prosedur disiplin ialah menentukan harapan dan sempadan terlebih dahulu. Kanak-kanak harus tahu kelakuan bagaimana yang boleh diterima dan yang tidak boleh diterima sebelum dia diberi tanggungjawab mematuhi peraturan itu. Ini akan mengelakkan kanak-kanak itu dari merasa tidak adil apabila dia dihukum bagi kesilapan dan kemalangan yang tidak disengajakan. Jika anda belum menakrifkannya, jangan kuatkuasakannya!

Kedua: Apabila anda dibantah, responlah dengan tegas dan yakin. Apabila seorang kanak-kanak itu faham apa yang dijangkakan, dia seharusnya dipertanggungjawabkan untuk berkelakuan yang sepatutnya. Ini kedengaran mudah, tetapi sepertimana yang telah kita lihat, kebanyakan kanak-kanak akan melawan autoriti orang yang lebih tua dan mencabar keupayaan mereka memimpin. Ketika dia sedang melawan, kanak-kanak akan memikirkan tentang arahan ibu bapanya dan berdegil untuk tidak mematuhinya. Seperti seorang general tentera dalam peperangan, dia akan mengagak risiko, menghantar bala tenteranya dan menyerang musuh dengan tembakan yang bertalu-talu. Apabila konfrontasi seperti ini berlaku di antara gerasi, adalah penting bagi yang dewasa untuk menang dengan tegas dan yakin. Kanak-kanak itu telah menjelaskan bahawa dia mahu berlawan, dan ibu bapanya seharusnya cukup bijak dan tidak mengecewakannya! Tidak ada yang lebih merosakkan kepimpinan ibu bapa daripada seorang ibu atau bapa yang kalah dalam perbalahan. Apabila ibu bapa sering kalah dalam perbalahan ini, dan berakhir dengan tangisan dan jeritan dan lain-lain bukti kekecewaan, perubahan yang dramatik akan berlaku dalam cara mereka dilihat oleh anak-anak mereka. Mereka tidak lagi dilihat sebagai pemimpin yang berwibawa dan berkeyakinan, sebaliknya dilihat sebagai tidak bertulang dan tidak mewujudkan rasa hormat.

Ketiga: Bezakan antara pemberontakan dan sikap tidak bertanggungjawab yang keanak-anakan. Seorang kanak-kanak tidak seharusnya dihukum atas kelakuan-kelakuan yang bukannya pemberontakan. Apabila dia lupa memberi makan anjing atau mengemas katilnya atau mengangkat sampah ke luar – apabila dia meninggalkan reket tennis anda di luar dalam hujan atau kehilangan basikal – ingatlah bahawa kelakuan-kelakuan ini adalah biasa bagi kanak-kanak. Ia adalah mekanisme di mana minda yang mentah ini dilindungi daripada tekanan orang dewasa. Berlemah-lembutlah dengnnya apabila anda mengajar dia membuat sesuatu dengan lebih baik. Jika dia gagal memberi respon kepada arahan yang diberikan dengan sabar, kemudian barulah anda boleh mengenakan hukuman yang dipatut diterimanya (dia mungkin terpaksa bekerja untuk membayar balik harga barang yang telah dirosakkan atau dihilangkannya, dan sebagainya). Cuma ingatlah bahawa sikap tidak bertanggungjawab kanak-kanak adalah berbeza daripada permerontakan dan ia harus ditangani dengan sabar.

Keempat: Pujuk dan ajar mereka sebaik sahaja konfrantasi itu berakhir. Selepas waktu konflik di mana ibu bapa telah mendemonstrasikan haknya untuk memimpin (terutamanya jika ia berakhir dengan tangisan anak itu), anak-anak antara umur dua dan tujuh tahun (atau lebih tua) mungkin mahu dikasihi dan dipujuk. Depangkan tangan anda dan gamitlah dia ke sisi anda. Peluknya dengan mesra dan beritahu dia bahawa anda sayangkan dia. Usaplah dia dengan lembut dan beritahunya sekali lagi mengapa dia dihukum dan bagaimana dia boleh mengelak dari dihukum di lain kali. Waktu berkomunikasi ini membina kasih sayang, ketaatan dan keutuhan keluarga.

Kelima: Elakkan meminta sesuatu yang mustahil. Pastikan bahawa anak anda mampu melakukan apa yang anda pinta. Jangan hokum dia kerana kencing malam apabila dia tidak sedar atau kerana masih belum pandai menggunakan tandas apabila dia berumur satu tahun atau kerana keputusan pelajarannya buruk sedangkan dia tidak mampu mencapai kejayaan akademik. Permintaan-permintaan yang mustahil ini meletakkan kanak-kanak dalam konflik yang tidak dapat diselesaikan: Tidak ada jalan keluar. Situasi ini menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dielakkan kepada emosi manusia.

Keenam: Biarlah kasih sayang menjadi panduan! Satu perhubungan yang bercirikan kasih sayang sejati adalah satu perhubungan yang sihat, walaupun beberapa kesilapan dari pihak ibu bapa tidak dapat dielakkan.

Soalan: Saya faham mengapa anda menekankan supaya kanak-kanak diajar untuk menghormati kepimpinan ibu bapanya. Tetapi bukankah ia sepatutnya berlaku di kedua-dua pihak? Bukankah ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab yang sama untuk menghormati anak-anak mereka?

Jawapan: Tentu sekali! Secara konsepnya, seorang kanak-kanak itu adalah lemah, dan dia hendaklah dijaga dengan sepenuh perhatian. Kanak-kanak harus tinggal di rumah yang cukup selamat, tidak diperkecil-kecilkan atau diaibkan dengan sengaja, tidak dihukum di hadapan kawan-kawannya dan tidak dipermain-mainkan dengan cara yang menyakitkan. Perasaan dan permintaannya, walaupun ia kedengaran bodoh, hendaklah diambil kira dan dibalas dengan beradab. Dia harus merasa bahawa ibu bapanya “benar-benar mengambil berat tentang saya.” Maksud saya ialah hormat adalah ramuan yang penting dalam semua perhubungan manusia, dan sepertimana ibu bapa harus menekankan supaya anak mereka menghormati mereka, mereka juga bertanggungjawab untuk menunjukkan contoh sebagai balasannya.

No comments:


Free Chip Walking ani MySpace Cursors at www.totallyfreecursors.com
Related Posts with Thumbnails