Followers

SToRY BeSt IbU..

Monday, May 17, 2010

Hasil benih kelah terbaik

IKAN kelah bukan sahaja terkenal kerana keenakan rasa dagingnya yang mempunyai tekstur yang halus malah ia sangat kuat melawan sekiranya terkena mata pancing. Justeru, kombinasi semangat juangnya yang tinggi apabila terkena mata kail serta isinya yang sedap menjadikannya buruan kaki pancing dan peminat ikan air tawar. Akibat tekanan penangkapan yang melampau dan permintaan yang tinggi di pasaran ia kini diancam kepupusan. Dikenali sebagai 'King of the River', kelah merupakan ikan yang hanya dijumpai di Asia seperti di India, Thailand, Malaysia dan Indonesia. Terdapat lebih daripada 19 spesies kelah yang terdapat di dunia dan di Malaysia hanya terdapat tiga spesies. Kebanyakan ikan kelah yang dijumpai di Malaysia ialah kelah merah. Menurut Ketua Pusat Pengembangan Akuakultur (PPA) Perlok, Jabatan Perikanan Pahang, Muhamad Hatta Mahmud, habitat semula jadi ikan kelah adalah di hulu sungai yang lebih 500 meter dari paras laut. ''Secara logiknya, ikan kelah adalah ikan yang lasak dan lincah berenang kerana ia hidup di celah-celah batu yang mempunyai air yang laju. ''Ikan kelah ini boleh membesar sehingga lebih daripada 50 kilogram (kg) dan dikenali kerana memiliki bibir dan mulut yang besar," katanya ketika ditemui pemberita di pusat tersebut.

 KETUA Pengarah Perikanan, Datuk Junaidi Che Ayub melepaskan benih Ikan kelah 
 yang berjaya di hasilkan di PPA di Perlok sungai Kuala Serau, Lipis, Pahang. 

Selain itu, ikan kelah mempunyai garisan lateral (tengah) yang jelas dilihat di tengah-tengah bahagian badan dan juga mempunyai sisik yang besar dan cantik. Jumlah sisik di bahagian garisan lateral (tengah) ikan dewasa kebiasaannya adalah antara 20 hingga 30 keping. Ikan kelah juga mempunyai beberapa sirip seperti pektoral, pelvik, dorsal, anal dan sirip kaudal (ekor). Perbezaan ikan kelah dengan ikan lain ialah ia mempunyai lebihan daging di bawah dagunya. Ikan kelah betina bertelur sepanjang tahun dan mengeluarkan telur pada musim selepas hujan di celah-celah batu atau lopak air di sekitar kawasan sungai. Kebiasaannya ia akan mengeluarkan telur secara sedikit-sedikit mengikut kematangan telur berbanding dengan ikan lain yang mengeluarkan telur secara sekali gus. Ujar Mohamad Hatta, induk kelah yang diperoleh kini merupakan generasi kedua (F2) selepas kejayaan pertama pembenihan ikan tersebut. Selain menghasilkan benih kelah PPA Perlok ini juga turut menghasilkan benih ikan lampam sungai, baung, keli dan patin. PPA Perlok turut menerima tempahan daripada orang perseorangan mahu pun mana-mana syarikat untuk melakukan proses pembenihan ikan menurut permintaan. Diwujudkan sejak tahun 1998, PPA Perlok secara rasminya dibuka pada tahun 2000 dan berkeluasan 110 ekar.

Kelebihan
Apa yang menjadi kelebihan kawasan PPA Perlok ini adalah kerana mudah untuk mendapatkan punca air semulajadi yang bersih. Sehingga kini, PPA Perlok telah menghasilkan ribuan anak benih ikan air tawar untuk menampung keperluan ke seluruh negara. Selain itu, anak benih ikan air tawar tersebut juga telah dilepaskan di sungai-sungai sekitar Pahang bagi tujuan meningkatkan sumber perikanan di negeri itu. Dengan itu, ia mampu mengelakkan sumber ikan di sungai yang amat bernilai, pupus kerana pelbagai faktor antaranya masalah pencemaran, penggunaan tanpa kawalan atau pembiakan semula jadi yang tidak memberangsangkan.

No comments:


Free Chip Walking ani MySpace Cursors at www.totallyfreecursors.com
Related Posts with Thumbnails